SELAMAT DATANG KE BLOG SK SIMPANG KUDA...

Info Sekolah

Kawasan Pagar Depan SK Simpang Kuda, Bau.


Alamat Sekolah:
SK. SIMPANG KUDA, BAU
D/A PEJABAT PENDIDIKAN DAERAH BAU
JLN. TASIK BIRU
94000 BAU
BAHAGIAN KUCHING, SARAWAK

Telefon:
+60198052525 - En. Simon(Guru Besar)

Emel:
ybb1104@1bestarinet.yes.my (rasmi)



Lokasi SKSK:
1. Dari Pekan Bau - Jalan Jambusan
2. Dari Jalan Jambusan - Jalan Kpg Skio
3. Sekolah di dalam bulatan
(di antara simpang jalan Kpg. Skio dan Kpg. Seromah)



SEJARAH SEKOLAH

               Seawal tahun 1948, cuma terdapat tiga buah sekolah di kawasan Serumbu. Sekolah yang pertama terletak di Kampung Skio bagi menampung kanak-kanak yang ingin bersekolah dari Kampung Skio dan Kampung Sogoh. Sebuah lagi sekolah terletak di Kampung Kopit dan Kampung Seromah yang menampung pelajar-pelajar dari Kpg Seromah, Kpg Seropak dan Dahan Estate. Menurut sejarah awal, pembukaan sekolah di Kampung Seromah dibuka pada 01 Oktober 1948. Anak jati Kampung Seropak, Encik Busong Anak Tipo telah dilantik sebagai Guru Besar oleh Pegawai Pendidikan Daerah Bau ketika itu ialah A.J.N Richards. Namun begitu, disebabkan penurunan dari segi jumlah pendaftaran pelajar maka sekolah yang terdapat di Kampung Skio dan Kampung Kopit terpaksa ditutup. Sekolah yang terdapat di Kampung Seromah juga hampir menerima nasib yang sama, tetapi sebelum ditutup , pihak berkuasa di Bandar Bau mencadangkan kepada ketua-ketua kampung berdekatan agar bersama-sama membina atau menggabungkan sekolah.

              Sehingga Jun 1957, ketika sambutan Pesta Gawai Dayak, semua ketua kampung yang berdekatan mengadakan mesyuarat di Kampung Seropak bagi membincangkan cadangan pembinaan sekolah gabungan mereka termasuk pemilihan lokasi yang sesuai. Pada masa itu masing-masing berebut agar lokasi sekolah baru dibuat di kampung masing-masing. Akhirnya dipersetujui dibina di satu lokasi yang sesuai bagi semua kampung. Lokasi baru yang dipilih ialah persimpangan jalan yang menuju ke Gunung Puak dan ladang getah Inggeris di Dahan Estate. Lokasi bagi sekolah merupakan kawasan berbukit di persimpangan laluan utama bagi beberapa buah kampung berdekatan dan dikenali sebagai Simpang Kuda.

              Pihak berkuasa Tempatan Daerah Bau sangat berpuas hati dengan keputusan orang-orang kampung untuk membina sekolah baru di Simpang Kuda. Pelan sekolah segera diberi dan tukang kayu dibekalkan bagi membantu orang-orang kampung. Kerja-kerja pembinaan bermula pada pertengahan bulan Oktober 1957 dengan keluasan 80 ’ x 24 ’. Kawasan hutan berhadapan dengan lokasi sekolah diterokai dan bertukar wajah menjadi padang sekolah. 

              Persetujuan dan kemajuan yang diperolehi  adalah satu pencapaian yang hebat memandangkan pada masa itu kebanyakan kawasan Simpang Kuda masih lagi dipenuhi atau diliputi hutan tebal. Orang kampung telah bersatu hati dan bergotong royong menyiap sekolah tersebut  yang kebanyakan berbekalkan parang, cangkul dan kapak. Apabila sekolah tersebut siap dibina, seorang pegawai atasan dari Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak telah melawat sekolah tersebut. Melihat kepada kerjasama dan kesungguhan orang –orang kampung tersebut dalam memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan, pegawai tersebut berjanji untuk mendapat sebuah sekolah yang baik. beberapa minggu kemudian, beberapa buah trak yang penuh dengan bahan binaan telah dihantar ke Simpang Kuda. Orang-orang kampung sangat berbesar hati. Dengan berbekal semangat bergotong royong serta hasrat murni ingin melihat anak-anak mendapat pendidikan  dalam persekitaran atau suasana yang lebih baik, penduduk-penduduk kampung sekali lagi mengerah tenaga dan bekerja keras membina semula sekolah itu.

              Akhirnya pada pertengahan bulan Januari 1958, sekolah tersebut telah dibuka dengan pendaftaran pelajar seramai 160 orang kanak-kanak dengan bilangan guru seramai tujuh orang. Penduduk kampung tanpa teragak-agak menamakan sekolah baru mereka Simpang Kuda School. Pada 1958, semua sekolah di Daerah adalah dibawah Council Atau Majlis Daerah.  Simpang Kuda School dinamakan oleh pihak Daerah Bau , Simpang Kuda Council School . Simpang Kuda Council School mendapat nama ” Simpang Kuda ” dari lokasi dimana orang-orang British menambat kuda-kuda mereka sebelum meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki menuju ke ladang getah Dahan Estate. Simpang bererti persimpangan antara jalan menuju ke Gunung Tegurah dan sebuah jalan menuju ke ladang getah Inggeris di Dahan Estate.

             Pada tahun 1963,  Simpang Kuda Council School ditukar kepada Sekolah Rendah Kerajaan Simpang Kuda setelah diambil alih oleh Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak. Pada tahun 1963 SRK Simpang Kuda telah beroperasi sebagai sekolah asrama bagi menampung para pelajar yang tinggal jauh dari kawasan sekolah.  Pada tahun 1965 sekolah SRK Simpang Kuda didaftar dengan Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak dan diberi Nombor Pendaftaran AS 574 . Pada tahun 1995 SRK Simpang Kuda diberi Pendaftaran dengan Kementerian Pelajaran dengan Nombor YBB 1104 . Pada tahun 2005, sekolah SRK Simpang Kuda  itu telah diberi nama baru Sekolah Kebangsaan Simpang Kuda.  Sejak pembukaanya pada tahun 1958, seramai 14 orang Guru Besar telah berkhidmat di sekolah ini.


SENARAI GURU BESAR-GURU BESAR SK SIMPANG KUDA
Bil.
Nama Guru Besar
Tahun
1.
Encik Ibrahim bin Anu
1958 – 1961
2.
Encik Chong Foh Onn
1962 – 1963
3.
Encik James Lee
1964 – 1966
4.
Encik James Daim
1967 – 1968
5.
Encik Dominic Anak Dellen
1968 – 1970
6.
Encik Lawrence Kung
1971 – 1978
7.
Encik Choo Chin Fan
1979 – 1985
8.
Encik Francis Midin Anak Mosed
1986 – 1994
9.
Puan Dorim Anak Rangay
Jun 1994 – Nov 2004
10.
Encik Anthony Bong Joon Khoi
Dis 2004 – Jun 2006
11.
Encik Gani Anak Jonek
Jul 2006 – Sept 2007
12.
Puan Siti binti Jolhi
Nov 2007 – Nov 2008
13.
Encik Jobi Anak Asong
Jan 2009 – Dis 2015
14.
Encik Simon Kuek Anak Nokep
SEKARANG